untukmu permataku

Nama saya : Dr Amin Ismail (A.I.):

Pegawai Perubatan UD44, Jabatan Perbidanan dan sakit puan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan

Pegawai Perubatan UD41, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan :)

MBBS (Melaka Manipal Medical College, Manipal University)

saya seorang doktor yang sentiasa mahu ceria

Followers

Showing posts with label motivation. Show all posts
Showing posts with label motivation. Show all posts

Saturday, November 28, 2015

Maksud hidup ini?

Suka duka seorang houseman: kita tanya apa maksud hidup ini? Hari hari bekerja. makan, tidur, bermain menjadi sebahagian dari kehidupan. Diulang perkara yang sama tanpa ada makna dan tujuan
kita tanya apa maksud kehidupan sebegini? Padahal Tuhan telah meletakkan andaikata sesuatu itu dilakukan dengan tujuan Lillahi taala ( Kerana Tuhan), pasti jawapan tersedia.
Andai kita mengerti rezeki itu luas. Andai kita mengerti mencari sesuap rezeki yang halal itu bahagia, andai kita mengerti makan dari makanan yang halal itu mendamaikan, andai kita mengerti bergaul dengan yang halal itu mengasyikkan pasti kita mengerti bahawa semua perkara itu ada tujuan hidup.
sudah pasti sukar untuk kita termenung memikirkan mengapa dan bagaimana kita terdampar disini. kerana apa? kerana takdir Tuhan meletakkan sesuatu betul di tempatnya.
Cumanya kita hanya perlu bersabar dan jangan berputus asa dari penat lelah. bukankah kita selalu dan pernah mengharunginya setiap kali. dan setiap kali kegusaran dan kepayahan itu, kemudiannya kita menemui kebaikan dan senyuman yang muncul. setiap kali itu juga kita tersenyum sendirian.
Biarlah masa itu mendidik jiwa kita. dan biarlah suasana itu bergerak dan berlalu. sedar tidak sedar kita semakin dewasa dengan pengalaman. dan pengalaman inilah yang paling berguna apabila kita mula menjejak kematangan hidup.
tanyalah diri kita apa maksud setiap kehidupan kita. pasti kita bahagia
aku budak medik smile emoticon

Friday, October 2, 2015

suka duka seorang houseman

Saya sering mendapat idea untuk menulis. setiap kali idea itu datang pula tidak kira tempat. ada masanya semasa saya sedang makan. ada ketika semasa saya memandu. ada kalanya semasa saya sedang ikut round dengan big bos di wad.

Kalau semasa saya sedang memandu, nescaya saya akan cepat cepat mencari port untuk memberhentikan kereta, mengambil smart phone saya yang sangat berguna ini dan terus menulis. bukan kerana apa, kerana saya takut idea yang sedang berligat ligat di minda saya itu akan cepat hilang andaikata saya mengambil keputusan untuk menulis kemudian. ataupun jika idea itu masih ada, saya risau apa yang saya mahu sampaikan itu tidak tersampai dikemudian waktu.

Tapi, jarang idea itu saya muatkan keblog ini. kerana mungkin juga blog sudah menjadi sesuatu yang sangat komplikated. siapa lagi pada waktu ini mahu membaca blog? jika adapun apabila ianya dipautkan ke facebook contohnya. tapi saya masih yakin akan keupayaan blog. biarlah blog aku budak medik ini terus kekal disini. ianya merupakan kenangan indah buat saya. kenangan suka duka saya dialam pembelajaran dan dialam percintaan seorang remaja yang hidupnya berkisar tentang buku, hospital kolej dan rakan rakan.

saya juga percaya remaja sekarang termasuklah saya sudah sangat malas untuk membaca sesuatu idea yang panjangnya berjela jela. mereka mahu sesuatu itu yang mudah difahami ideanya, ringkas dan terus menyerap ke kepala. sama juga macam saya. apabila saya membaca, saya mahukan idea itu difahami, ringkas dan boleh dihabiskan dalam sela waktu yang cepat. jadi apabila saya mahu berhenti membaca, idea tersebut tidak tergantung berbanding penulisan yang panjang dimana apabila kita mahu berhenti seketika , esoknya kita sudah lupa apa point yang kita baca sebelumnya. kerana itu saya suka membaca buku Saiful Nang berjudul " Kisah Orang Menang" kerana ideanya ringkas dan mudah. jalan cerita dari satu tajuk ke tajuk berlainan juga berbeza dan tidak berjela.

iya, kisah suka duka seorang houseman! dari mana saya mendapat idea ini pun saya tidak mengerti. mungkin ianya lahir dari hati sanubari saya tersendiri. ianya luahan saya sebagai seorang doktor pelatih, ianya sudah pasti berkisar kehidupan saya di hospital, kehidupan saya berkeluarga dan kehidupan saya bersama rakan rakan. Saya bersyukur kerana Tuhan senantiasa memurahkan rezeki kepada saya dan rakan rakan doktor pelatih sekalian. anda juga doakan semoga kami akan terus rajin bekerja untuk anak bangsa kita sendiri.

Tulisan saya , saya banyak muatkan kelaman facebook. jika berkesempatan saudara pembaca boleh ke laman facebook saya dan menikmati seciput idea dan luahan perasaan yang entah apa apa la si mamat poyo ini mahu luahkan.

Teringat pula semasa dikolej, zamannya sudah pasti berbeza dengan zaman bekerja. zaman kolej, hidup sangat tertekan dengan buku buku dan peperiksaan yang senantiasa muncul. kerana itu saya menyibukkan diri dengan Motivasi motivasi Dr A.I. Sehingga ramai bertanya Dr A.I tu siapa? Ustaz Azhar Idrus kah? Anwar Ibrahim ke?

tak! Dr A.I. itu adalah saya Dr Amin Ismail. haha.

apabila zaman berubah, umur juga meningkat panjang, banyak yang kita perlu muhasabah. saya yakin, pengalaman itu walau pahit manapun, ia tetap berguna buat kita. cinta, kasih sayang, kebencian semua itu adalah pengajaran berguna. jadikanlah ia suatu lonjakan buat diri kita untuk melangkah dimasa hadapan.

dan saya, pasti akan terus berusaha untuk memajukan diri, sebagaimana anda juga mahu memajukan diri dan keluarga anda. semoga segala usaha kita akan diberkati.

aku budak medik yang masih saya seperti dulu, ceria gembira dan senantiasa tersenyum ^^

Monday, August 3, 2015

general medical posting

.Memang seronok medical posting di Hospital saya. Tapi saya bukan budak medical based. saya budak surgical based. inilah yang saya cakap kepada senior Manipal saya apabila beliau bertanya apa minat saya dimasa hadapan.

"Saya surgical based person dr!'

Apapun, sudah 2 bulan setengah saya di medical psoting. sejak minggu lepas saya berada di subspecialiti posting. posting sub pertama adalah nephrologi. seronok. :) walaupun hari hari saya pulang sekitar 6.30 petang, tapi kerja disini memang menyeronokkan. lagi seronok kalau dapat buat sendiri prosedur seperti memasang Internal jugular catheter, femoral catheter. ish. geram pulak. cuma sekarang masih belum berpeluang nak memasang IJC. Tadi pun bos dan mula bersuara,

" kenapa tak suruh si Amin ni pasang IJC".

Saya memang suka buat prosedur prosedur ni. semasa tagging di acute bed, saya dah dapat seorang pesakit intubated dan indikated untuk hemodialisis kerana masalah buah pinggan acute kerana sepsis. disebabkan pesakit tidak ditempatkan di wad ICU kerana kekurangan katil, pesakit terpaksa ditempatkan di general medikal wad dan pesakit perlu melalui prosedur dialisis peritoneal (peritoneal dialisis). macam tak percaya saya mampu buat PD kat wad. terima kasih kepada kawan kawan yang mengajar.

Mula mula masuk nephro pulak, kebetulan satu pesakit nephro end stage renalfailure masuk wad kerana semput. xray dada memang banyak air dalam paru paru ( pleural effusion). mulanya bos suruh buat dialisis air je. keesokan harinya sebelum di discaj dari hospital, bos besar pulak suruh buat peritoneal dialisis. apa lagi 900 cc straw fluid dapat dikeluarkan.

 prosedure done by DR AMIN!

7.12 MALAM
3/8/15


Tuesday, June 2, 2015

Berangan angan itu menyeronokkan

Saya tidak pasti apakah saya akan menjadi seorang doktor andaikata pada 10 ataupun 15 tahun lepas saya tidak pernah memasang angan angan untuk menjadi seorang doktor. Andaikata semasa saya mula menginjakkan kaki di bumi Maahad Muhammadi Lelaki, saya langsung tidak memasang cita cita yang tinggi, sudah pasti sekarang ini saya menjadi seorang manusia yang lain, bukannya saya yang sekarang.

Sungguh, ibu dan ayah merupakan 2 figure yang hebat yang mendidik saya menjadi siapa saya pada hari ini. Tanpa mereka sudah pasti saya tewas. Mereka mengajar saya bahawa hidup ini susah dan sukar. Lagi lagi apabila kami bukannya dilahirkan dari keluarga yang mewah. Kami dilahirkan dari keluarga yang sederhana. Segala keperluan asas memang mencukupi. Ilmu pula dititik beratkan oleh ayah dan ibu. Mereka selalu menanamkan dijiwa kami hanya dengan ilmu sahajalah kami akan menjadi hebat dimasa hadapan. Hanya dengan ilmu sajalah kami akan dihormati. dan hanya ilmu sahajalah yang mampu memberikan kami sebuah kehidupan yang kami inginkan.

Dan dari seorang budak kampung, saya melangkah gagah untuk memastikan impian itu tercapai walau dengan air mata. Selangkah demi selangkah kita berjalan. Seiringan. Setiap peperiksaan itu dihadapi dengan ketabahan dan bersengkang mata. Alhamdulillah ibu, anak ibu berjaya lagi buat sekelian kalinya. Alhamdulillah ayah! anak ayah ini terus menaikkan nama ayah dimata orang kampung dan masyarakat sekitar yang mengenali ayah. Siapa dia tu anak Usta Ismail?

Saya dapat ke Australia!!

Ya Allah, masih terngiang ngiang di telinga ini. Masih jelas lagi. Amin Ismail menjadi salah seorang pelajar terbaik 13 A didalam peperiksaan SPM 2014. aLLAH! Ibu memeluk erat kepalaku. Inilah anak ibu yang sebenar. Orang kampung memuji lagi ayah kerana berjaya menghantar seorang lagi anak nya ke universiti. Ini anaknya yang ke tujuh akan masuk universiti. Kali ini, bukan lagi universiti dalam negara, tapi jauh merentasi lautan.

Namun Tuhan mungkin mengerti. Tidak aku sampai di Australia, Tapi India. Dan India itu sebuah negara yang sangat indah. Aku bermimpi lagi. Aku seorang Shah Rukh Khan. Dunia ini bagaikan sebuah pelangi yang sangat indah untuk dinikmati. Aku merantau mencari siapa diriku yang sebenar.

Tahniah kerana mendapat tawaran bekerja di HTAA. aku bingung pada mulanya. Tidak pernah aku terlintas untuk bekerja di Kuantan ini. Mungkin sudah rezeki. Orang bertanya kenapa hang minta bekerja di Kuantan?

Sukar untuk menjawab kerana aku tidak pernah terlintas langsung untuk kesini. Namun dari hari ke hari aku mula berasa selesa berada di Kuantan ini. Aku mula melangkah gagah melihat masa depan. Disini ada semua itu. aku mula memasang angan angan dan cita cita lagi.

Aku nampak aku mempunyai masa depan yang cerah disini. Masakan tidak, setahun disini, aku mula membeli rumah seolah olah mahu menetap untuk beberapa jangkawaktu lagi. Dengan kehadiran hospital UIAM yang sedang dalam pembinaan, masakan tidak itu mungkin takdir untukku.

Biarlah aku berangan angan lagi. Professor Dr Amin Ismail, dekan fakulti OnG uiam.haha.

Sunday, October 19, 2014

Buat saudari *********

saya mendapat satu email dari seorang yang bernama **********. Saya meminta izin darinya untuk berkongsi soalan yang saya rasa agak menarik. 

mari kita tengok soalan yang Saudari ********* berikan kepada saya melalui laman emal aku87amin@hotmail.com: 

"Seronok fllow blog doc. Sy nk kmen kt blog tp segan. Alangkah bgusnya if sy pn bleh jd mcm doc. Berpndgn jauh n sgt berwawasan. But most imprtnt, sgt brpgng tguh pd agama n humility prson. Alhmdulillah. Bleh doc bg sdikit kta2 motivasi pd sy? Terima ksih".

Jawapan saya:

1. Terima kasih saudari kerana sudi untuk menjamah blog saya. Untuk pengetahuan saudari, saya mula berjinak dalam penulisan blog semasa saya berada ditahun pertama kuliah perubatan di Melaka Manipal Medical College. Semasa itu friendster sangat popular di Malaysia. Friendster merupakan tempat dimana saya mula menulis, sekitar pengalaman peribadi, kisah kisah masyarakat, luahan hati saya berkenaan beberapa perkara yang saya rasakan sukar untuk diluahkan melalui kata kata. 

2. Banyak pengalaman yang kita tempuhi dalam hidup ini. ada sebahagian pengalaman itu amat memeritkan dan menyedihkan hati. Seboleh bolehnya kita seakan mahu lupakannya. Tpi saya yakin bagi seorang yang hidupnya senantiasa mahu diperbaiki, dia tidak akan memadamkan kenangan kenangan pahit ini. kerana saya yakin melalui satu kata kata manusia itu belajar dari kesilapan manusia lain. tapi pada masa sama perkara yang paling hebat adalah manusia itu perlu belajar dari kesilapan diri sendiri. Pasti dia tidak akan lupa dan tidak akan berani untuk mengulangi kesilapan yang sama untuk kali sekiannya. inilah antara tujuan saya menulis. Saya mahu memastikan ianya akan tersemat disini dan suatu hari nanti saya akan membacanya kembali. Tatkala itu sudah pasti saya akan menangis mengenangkan betapa inilah kisah hidup yang pernah mewarnai hidup saya. pada masa sama saya mahu berkongsi dengan sesiapa sahaja yang sudi untuk menjamahnya. terutamanya adik adik yang sedang meniti perbatasan hidup dalam mencari arah dan halatuju yang diingini.

3. Anda tidak perlu menjadi seperti saya. Saya bukanlah sesiapapun dalam hidup ini. Saya hanyalah seorang insan biasa seperti manusia lain. Malah saya yakin masih ada kehidupan yang lebih berharga dari jiwa saya. Namun saya yakin manusia itu dihidupkan dan berdiri dengan kelebihan masing masing melalui pengalaman pengalaman yang ia lalui. sudah pasti pengalaman ini mengajarnya menjadi seorang manusia yang sangat istimewa, yang membezakannya dari insan istimewa yang lain. Sudah pasti saudari sendiri juga mempunyai kisah hidup yang sangat istimewa dan pelik yang menjadikan saudari seorang manusia yang indah. Saya sudi untuk mendengarnya andaikata saudari sudi untuk berkongsi.

4 berpandangan jauh dan berwawasan. :). Alhamdulillah Tuhan belum mematikan hati saya untuk terus berusaha dan bekerja keras dalam hidup ini. Saya yakin sebagai seorang muslim istilah berputus asa itu tiada dalam kamus kehidupan kita. Begitu juga saudari kena yakin bahawasanya Tuhan itu sudah menyediakan rezeki yang banyak buat setiap hamba yang Ia lahirkan diatas muka bumi ini. Cumanya tugas kita selaku khalifah dibumi ini adalah untuk meneroka dan mencari dimana rahsia rezeki tersebut.

5. Guru saya bercerita beliau pernah gagal dalam peperiksaan dan sebahagia dari hidupnya. tetapi apakah beliau bersedih diatas pengalaman yang pernah beliau lalui itu? Tidak. bahkan beliau mengatakan itulah keseronokan sebuah perjalanan sebagai seorang manusia. kegagalan itu menapis teman teman hidupnya diwaktu senang dan susah. kegagalan itu mencorakkan peribadi dirinya dan membentuk karakter yang istimewa. 

6. kerana itu jugalah saya sebolehnya mahu senantiasa menjadi positif dalam hidup. sekiranya kita pernah ditimpa musibah, bersabarlah dan berusahalah mencari jalan agar musibah itu cepat berlalu. Percayalah jalan itu ada. Dan seandainya kita diberikan nikmat yang banyak, tersenyumlah pada masa sama kongsikan kenikmatan itu dengan manusia disekeliling agar suatu hari nanti apabila Tuhan mula menguji kita, Dia tidak lupa untuk memastikan ujian itu merupakan suatu yang bisa kita tanggung dan bukannya sesuatu yang membebankan diri.

penulis blog aku budak medik :)  :)

Sunday, April 27, 2014

seminar ibu bapa penyayang Papisma.

Selesai program PTM di Port Dickson, balik ke kelantan terus kakak Dr Azira ajak ke seminar ini. Maklumlah rugi bayar mahal kalau x pergi. Ibu Rose sangat bagus dalam menyampaikan lontaran lontaran idea yang baik. Mungkin saya boleh berkongsi tips tips yang beliau berikan

1. Apakah tujuan keibu bapaan?
-sekiranya perlu marah, apakah perlu marah? Apa tujuan marah? Adakah kesan menjadi lebih baik?
-ambil satu kertas A4, lukis bentuk lobe, apabila marah, cucuk dengan pen. Apa akan jadi, love itu akan koyak rabak
- bila kita ada perasaan salah pada diri, hilang konfiden diri.
-dunia ini sudahmenghala ke tempat yang jauh, tempat kita tidak mahu pergi. Kita adalah manusia yang perlu perbetulkan kembali keadaan diri

2. Untuk berjaya, perlu kepada tindakan. Ingat, behaviour menghasilkan result.

3. Nabi nuh, berdakwahkepada anak, tetapi anak tidak ikut? Bukan kerana nabi nuh tidak bagus sebagai seorang ayah. Kebaikan pasti akan dibalas diakhirat. Beri sangkaan baik kepada seorang ibu dan ayah. Anak teruk bukan kerana ibu dan ayah tidak ajar. Ibu mungkin tidak berpeluang ,elihat kesandididkan dalam mendidik anak semasa hayat. Co tohnya Malek nor, berubah selepas ibu telah pergi.

4. Law of deliberate creation : apa yang kita ucapkan, Allah jadikan kenyataan. Kita sedang mencipta tanpa sedar dalam minda kita. You can create.

5. Thought - word - action - habit - charachter - destiny - either happiness or misery :(

6. Belief - mindset - behaviour - result

7. 0-3 years old : tanam dan bina EQ.

8. Untuk membina keluarga, kenal partner. Jika kasih sayang berkurang, buat sesuatu. Dating. Tengok dirikita, jaga tuturkata, jangan sebut negatif pada diri. Kumpul kekuatan dengan sujud.

9. I make a different in this world.

10. Buang semua kimia negatif sebelum pulang. Fahamkankan anak anak bahawa mereka sangat istimewa. Count how many no you say to kids. Banyakkan yes.

11. 4 jenis parenting
Dominant
Permissive
Neglectful
Loving and firm

Perlu ada garis panduan dalam rumah tangga. Kegagalan rumah tangga kerana tidak mampu mengawal marah, anak pun jadi pongoh. Reflex diri.

12. 4 jenis marah.
Cepatmarah, cepat sejuk: boleh menyebabkan jantung lemah
Lambat marah, lambat sejuk : dendam tak habis
Lambat ,arah, cepat sejuk : bagus.

13. Ibu bapa jangan jadi autoratian. Anak Hassan al banna ; kami tak takut ayah, tapi kami malu.

14. Jangan didik anak ikut skema : indulgence parent

15. Neglect7ng parent : anak rosak

16. Good morning people : anak berjaya.

17. 3 keadaan dimana anak mudah mendengar
Waku sakit
Waktu makan
Waktu dalam perjalanan

17. Bahasa kasih sayang
Hadiah
Perkhidmatan
Kata kata indah
Kualiti masa
Fizikal sentuhan

18. Didik isteri dengan cara merendahkan sayap. Apa perempuan mahu. Kenapa isteri tak suka.

Wallahualam. ;)




Thursday, July 25, 2013

Ainan Tasneem

Jam menunjukkan pukul  2.33 pagi. Sudah kelaziman agaknya sejak berpuasa ini jadual tidur menjadi terbalik. Waktu siang lembik, waktu malam segar bugar.

 Pagi tadi Alhamdulillah selesai end of posting exam orthopaedics. Berdua dengan Benny, kami mengambil kes osteoarthritis of hip joint. Ok lah rasanya. :)

Sambil menunggu waktu untuk bersahur sekejap lagi sebelum tidur sekejap, saya google dan youtube sambil mendengar beberapa buah lagu. Terdengar lagu Aku suka Dia nyanyian Aina Tasneem. huh! saya peminat dia ke? hahaha

Ada satu temuramah Ainan dalam nasi lemak kopi O. Rupanya Ainan ini masih belajar di Universiti Malaysia Perlis, dalam jurusan engineering bioproses. Apa tu? Berumur 20 tahun, sudah mampu mencipta nama di persada seni di Malaysia.

Beliau hanya bermula sekadar minat minat biasa menyanyi dan 'upload' lagu di youtube, terus lagunya menjadi gempak dan didengari oleh puluh ribu pelayar internet.

Benarlah juga kata orang, rezeki itu kadang kala dikurniakan untuk setiap orang secara berasingan. Kita tidak tahu rezeki kita dimana dan bila.

Bukan mudah juga untuk Berjaya dalam sekelip mata. Kadangkala kita perlu mendaki jauh anak tangga. Ada yang cepat, ada yang perlahan tapi yang penting kita perlu cuba menjadi seseorang yang istimewa dimata sendiri dan orang lain.

OT Posting orthopaedics
Kita perlu melihat keupayaan diri, dimana kekuatan kita, mencari titik kelemahan. Mungkin kita tidak mampu menjadi Ainan Tasnim yang kedua. Tapi kita mampu belajar dari kehidupan seseorang agar boleh dijadikan panduan untuk Berjaya.

Saya selalu bermimpi untuk menjadi seorang Pakar OnG pada masa sama saya adalah seorang pakar motivasi yang sangat Berjaya dengan buku buku penulisan yang dikenali dipasaran.

Mampukah cita cita itu terjadi. Siapa tahu andai kita yakin dan berusaha.

Jom Bermimpi awak ^^

Semua orang mampu untuk menjadi siapa kita kan ^___^

Tuesday, July 23, 2013

Manusia berjiwa besar

Saya suka dengan kata kata berbunyi:

"Bila besar nanti jadilah seorang yang berJIWA BESAR". 

Kalam yang sangat membuatkan hati saya tersentap. Berjiwa besar? Apa maksudnya, membuatkan saya terfikir sejenak. Mengapa dunia memerlukan manusia yang berjiwa besar?

Mungkin sahaja orang yang berjiwa besar bersikap penyabar. beliau tidak mudah tersentap dengan keadaan disekeliling. 

Kadangkala mungkin sahaja kita mempunyai pendirian dan pendapat yang sangat berbeza dan kontra dengan orang lain. Manusia berjiwa besar tidak menjadikan ini sebagai satu masalah. mereka boleh hidup dengan meraikan kepelbagaian pandangan itu sebagai suatu yang sangat istimewa dan penuh berhikmah.

Pernah dengar satu ungkapan sangat manis:

"Pandangan saya memang betul, tetapi pandangan mereka tidak semestinya salah".

manusia berjiwa besar seringkali melihat dunia dalam bentuk yang positif. Kebaikan yang mereka dapat dibalas dengan sebuah senyuman dan kesyukuran kepada yang memberi. Mudharat dan musibah yang mereka peroleh dibalas dengan senyuman yang sangat bermakna.

saya membaca sebuah cerita yang sangat indah berkenaan seorang ketua yang mahu menarik perhatian anak buahnya dari tingkat atas sebuah bangunan. Ketuanya meleparkan duit syiling untuk memanggil anak buahnya agar mendongak keatas.

Anak buah itu sangat teruja melihat syiling syiling yang jatuh tanpa perasan seseorang sedang melemparkan dari atas. Akhirnya ketuanya membaling beberapa ketul batu dari atas untuk mengalih perhatian dia. 

Akhirnya akibat kesakitan, anak buahnya mendongak keatas dan melihat bossnya sedang memanggil namanya.

Manusia berjiwa besar melihat musibah itu satu panggilan buatnya selepas mendapat rezeki yang hampir membuatkan diri terlena dibuai mimpi mimpi indah.

Manusia berjiwa besar hidupnya sangat lapang dan luas. Mereka melihat kebaikan disebalik keburukan. Mereka melihat kejayaan disebalik kegagalan. Sukar untuk manusia sebegini mengalami kesedihan berpanjangan. Andaikata mereka bersedih, kesedihan itu sementara sebelum mereka melangkah gagah untuk kembali menggapai bintang.

Ya! manusia berjiwa besar sangat bahagia dalam hidupnya. 

Penulis blog aku budak medik
13 Ramadhan 2013

Friday, April 26, 2013

Final year medical student



Alhamdulillah akhirnya Allah permudahkan peperiksaan P2S1 yang lepas seminggu. Kawan kawan tepuk bahu mengucapkan tahniah, ada yang kata dah masuk final year sekarang, seronoklah.

Memang seronok, kita berusaha kemudian Allah makbulkan usaha kita. Menjadi pelajar perubatan penuh dengan ujian dan rintangan. Peperiksaan boleh dikatakan selalu ada, peperiksaan besar mahupun kecil. Semua ini bermatlamatkan satu agar kami belajar dan berjaya menjadi seorang doktor yang baik.

Tapi disebalik kejayaan itu adanya dukacita.

Kadang kadang kami gagal dalam peperiksaan, satu ujian yang sangat berat. Air mata mampu mengalir membayangkan pelajar cemerlang gagal. Tapi itu lumrah dalam kehidupan. Semakin kita berusaha, ujian pasti tiba dalam hidup. Yang penting, jangan sesekali menyerah diri. Jadikan itu sebagai batu loncatan untuk kita bangkit kembali. Saya tahu ramai rakan saya, adik adik diluar sana yang mengalami nasib sama.

Tapi, insya Allah kita perlu menerima hakikat dan melawan suasana itu. Inilah yang menjadikan kita kuat. Pada masa sama jangan lupa, kejayaan sebagai seorang muslim bukan semata mata pada penilaian kertas peperiksaan. Kita ada sesuatu yang lebih besar untuk dicari. Jika seandainya kita faham, Insya Allah, hati kita tidak akan mudah berputus asa dengan kegagalan sementara. Melangkahlah walau bertongkat.

Memang benar, menjadi seorang pelajar perubatan, mahu tidak mahu kita perlu bersama dengan buku. Kadang kadang buku teks perlu mejadi rakan teristimewa. Bukan buku nota nota kecil dan ringkas, tetapi buku teks yang bermuka surat ribuan. 

Pada masa sama juga tidak semua pelajar perubatan itu mempunyai pengetahuan dan kemampuan yang sama. Ada yang pintar dan jenis mudah menghadam pelajaran, bagi mereka Alhamdulillah ini adalah nikmat Tuhan ada mereka. Ada juga yang jenis lambat panas dan perlu pada ulangkaji yang berterusan. Mereka perlu masa yang panang untuk menghadam. Tapi, disebabkan kesungguhan mereka, Allah permudahkan diri.

Kerana itu, setiap dari kita tidak sama. Jangan sesekali meletakkan  diri kita pada penilaian orang lain:

"Kenapa aku tak pandai seperti mereka? Kenapa dia belajar sekejap aku perlu mengulangkaji lama? kENAPA AKU PERLU MEMBUAT NOTA SEDANGKAN MEREKA HANYA MEMBACA TEKS TEKS?"

Yan jelas, tahun akhir adalah masa dimana kita perlu menyesuaikan diri merubah diri dari alam belaar kepada alam pekerjaan, bagaimana mahu diaplikasikan ilmu itu pada amali. Pada masa sama juga inilah masanya dimana kita perlu mempunyai bekalan ilmu yang cukup sebelum bergelar doktor.

Bertanya dan membaca semasa belajar menunjukkan kerajinan. Tetapi bertanya semasa bekerja?

Moga kita terus beristiqamah.

Insya Allah. ^^

Wednesday, April 24, 2013

Dr Gigi

Salam. 
Alhamdulillah saya ada memohon dari seorang rakan, Pelajar Pergigian di kolej kami (MMMC) untuk beliau berkongsi tentang beberapa perkara berkaitan bidang pergigian. 

saya kekalkan semua penulisan yang beliau hantar kepada saya dalam bentuk yang asal untuk mengekalkan keasliannya. Saya tersenyum juga membaca jawapannya dalam bentuk yang santai. :)


Saya :
Mohd Amin Bin Ismail (Dr AI)
Pelajar tahun akhir Perubatan di MMMC.



Ok. sedikit Biodata berkenaan Dr Gigi kita ini
Nama: Siti Norshafika (Dr Sn)
Pelajar Tahun 3 Pergigian di MMMC
Blog beliau untuk dikunjungi:  http://eikabasha.blogspot.com/

(Dr AI): pergigian ni belajar pasal apa?
(Dr Sn): Nama pon pergigian mesti lah pasal gigi.. TETTTTTT salah.. pelajar dentistry jgk perlu
belajar physiology, biochemistry, pharmacology anatomy , general medicine n gen surgery dan macam2 lg. tapi pelajar dentistry x perlu beljar semua subject 2 secara mendalam mcm pelajar medic. Kira yg basic2 je laaa kena balajar n yg related to head n neck region. Ramai org slh anggap psal dentistry ni. Its not about gg je but its about head n neck region. And of course other than those subjects that I’ve mentioned b4, pljar dentistry de byk lg dental subject yg kna bljar secara detail macam dental biology , dental material, oral pathology, oral medicine, oral radiology n bla bla bla (xsggup nk mention semua nt mseti org xnk amik dentistry sbb byk sgt kna bljar)

(Dr AI): Orang kata jadi dr gigi ni boring berbanding jadi dr perubatan? betul ke?
(Dr Sn): Okay nak tny. Pernah x boring tengok muka mak ayah kita? X kan.. sebab kita sayang. Sama la mcm kes ni.Org kata x kenal maka x cinta. X kan ada rasa boring kalau kita buat benda yg kita suka. Personally sy rasa dr gg nil g best dr Dr perubatan kot. Sebab dentistry ni not 100% study from  buku je. Its more 2 soft skill. Dentistry ni byk practical work yg sgt2 memerlukan kemahiran tangan (hand on work). So x kn rasa boring laaa bukan mcm medic asyik2 baca buku tebal2 hehe. That’s y dentistry ni org ckp combination of art n science J

(Dr AI): tak geli ke rawat gigi dan mulut orang? ada kisah kisah menarik untuk dikongsikan?.
(Dr Sn):  X geli pon. Sebbnya masa first year dah start pegang cadaver. So stakat gigi ni apa la sgt :P and masa second year dah kena buat practical on extracted teeth. So masa balik cuti da start kumpul gg org yg buruk2 dalam botol. Nampak mmg macam geli tp sebenarnya ok je. Pasal gigi n mulut orang pulak rasanya belum pernah la rasa geli. Kan pakai glove n mask J kalau dapat patient yg byk masalah yg dasyat2 lg saya suka sebab boleh belajar. N mmg biasanya kalau ada patient yg ada masalah yg dasyat2 semua org mesti nak tgok. Xde nye nak geli2.
  
(Dr AI): betul ke belajar dentistry lagi susah dari belajar medicine?
(Dr Sn):  Saya x nafikan beljar dentistry ni mmg agak susah tp saya rasa lg susah kalau ambik medic kot. Yg menbuatkan dentistry ni Nampak ssh sebab ada byk subject yg perlu beljar n banyak sgt2 practical work yg perlu disiapkan and bila masuk clinical years (start from 3rd year) dah start jmpa real ptient almost everyday 2 yg rasa ssh sikit kot . Tapi kalau pandai bahagi masa okay je yang penting kena sabar. Beljar apa pon ssh sbenarnya J

(Dr AI): dentistry ni belajar bab gigi je ke? ke kena belajar macam budak ambil medicine juga?
(Dr Sn):  Mcm yg sy cakap td dental student pon kena bljar jgk certain subject yg peljar medic ambil. Tapi x se-detail mcm korang la.. and jgn lupa dental student pon ada hospital posting mcm medical student jgk tau.. tapi semggu sekali je. Tapi Sy x pasti mcm mna dgn university lain ..

(Dr AI): lepas jadi dr gigi, kena sambung belajar lagi ke jadi dr pakar?
(Dr Sn):  Sudah semestinya.. sebab dentistry ni ada byk specialty tertentu sama mcm medic jgk. Kalau x silap kena sambung lg 4 tahun (in Malaysia) utk jd pakar (MDS ). N setiap Negara x sama. Ada Negara yg kurang dari 4 tahun

(Dr AI): berapa tahun bejar nak jadi dentist?
(Dr Sn):  Utk ada title Dr kat depan nama 2 kena beljar 5 tahun (BDS bachelor in dental surgery) ni x termasuk any preparation or diploma b4 ambik BDS. Sama je mcm mbbs

(Dr AI): gaji dr gigi berapa?
(Dr Sn):  Errrr yg ni saya x pasti sgt. dr apa yg saya baca dlu2 (b4 amik BDS) gaji fresh grad around RM3500-4000 sebulan . sy xde sedara jd dentist so x tau sgt latest gji brapa. Ce tny org lain..

(Dr AI): dr gigi kerja dia ikut office hour je ke?
 (Dr Sn): Haaa sudah semestinya.. after 5pm boleh lepak2 kt rumah. Kalau rajin boleh buat part time kt klinik swasta sebab mmg ramai dentist yg buat mcm 2.

(Dr AI): penat tak belajar dentistry?
(Dr Sn):  Huhu L mesti la penat. Tambah2 masa clinical year. Setiap hari jumpa patient. Mlm nk study lg (x baik mengeluh heheh)

(Dr AI): ramai orang takut nak jumpa dr gigi. kenapa yer?
(Dr Sn):  Sebab dorang tau gigi dorg ada masalah hahaha. Ni semua psychology je. Sebab 2 semua org kena maintain regular dental visit baru xde rasa takut n kita boleh treat any problem from the early stage. Kalau tahap kerosakan 2 da sampai tahap yg serius mmg la sakit n mesti rasa lg takut nk jmp dentist kn hahah 

Moga bermanfaat :)





Friday, April 19, 2013

menjadi seorang doktor

Tahniah pada adik adik lepasan SPM 2012 yang telah berjaya dengan cemerlang. Saya sempat berjumpa beberapa orang dari pelajar cemerlang ini, meminta saya berkongsi pengalaman dan meminta pandangan bagaimana mahu menjadi seorang pelajar perubatan, seterusnya menjadi doktor.

Soalan yang biasa diajukan:

1. Abang, saya nak jadi doktor, bagus dalam negara ke luar negara?
2. Abang, sesuai tak saya jadi doktor dengan result sebegini, sebegini?
3. U mana yer bagus?
4. bagus ke jadi doktor?
5. Interview susah tak JPA/ MARA?
6. mana lagi bagus, masuk matrikulasi atau pusat asasi sains?

Saya cuba menjawab satu satu. :)

1. Bagus dalam negara ke luar negara? Sebenarnya jika mahu ambil bidang kedoktoran, belajar dalam negara lagi bagus. Kenapa? Kerana satunya anda akan belajar sistem, anda akan membiasakan diri dengan sistem di hosptal kerajaan, anda akan banyak 'observe' apa yang berlaku di sekeliling anda, pesakit anda, doktor doktor di hospital.

Selain itu, anda akan terbiasa dengan penyakit penyakit yang 'common' di malaysia. Contohnya saya pernah belajar di India , agak 'common' case elephanthiasis, tapi Di Malaysia, case seperti ini jarang.

Antara lain, kelebihan belajar di Malaysia adalah anda mempunyai 'exposure' yang luas, pesakit yang sangat mesra, senang bertolak ansur. Memberikan badan mereka untuk diperiksa hatta oleh pelajar perubatan. Saya dapat tahu, disesetengah negara MAJU, PESAKIT BIASANYA TIDAK MAHU MEREKA DIPERIKSA OLEH PELAJAR. Mungkin itu salah satu kekurangan.

Walau bagaimanaun sudah pasti belajar di luar negara juga ada kelebihannya.

2. Sebenarnya keputusan SPM adalah pendorong untuk kita mencari cita cita yang dirasakan sesuai. Keputusan kurang baik tidak bermakna anda tidak mamppu menjadi doktor yang hebat. Insya Allah ramai sahaja rakan saya menjadi lagi hebat dari saya di peringkat ijazah.

3. Universiti (IPTA/IPTS) terlalu banyak sekarag sekitar 34 di Malaysia sahaja yang menawarkan
degree perubatan (MBBS). Cuba google kan dan pastikan diiktiraf oleh Malaysian Medical Council (MMC).

4. bAGUS JIKA ITU DALAH CIT CITA anda. Ia akan menjadi beban jika ianya bukan disebabkan kemahuan anda.

5. Interview JPA/ MARA  tak susah. pakai kemas kemas. Semasa saya hadir interview dulu, ada 2 sesi, 1 sesi bertulis dimana anda perlu menulis satu esei ringkas, contohnya kenapamahu menjadi doktor. kedua, ada ujian ooral dimana anda diberi satu topik, dan perlu melntarkan pandanan tentang topik tersebut.

6. Bagi saya jika dapat pusat asasi, lagi bagus kerana anda akan terus ke universiti, dimana persaingan menjadi kecil berbanding ke matrikulasi dimaa  anda perlu berlumba kembali untuk mendapat pointer tinggi.

Moga ada sedikit kebaikan dari perkongsian ini.

Selamat maju jaya. ^^

Saturday, March 23, 2013

Jangan fikir nak jadi Dr andainya...

 Bila saya menulis satu entry berkaitan gaji seorang doktor disini, saya menerima banyak komen positif dan negatif. Ada yang kata

"kenapa Amin buat status tu, nanti semua orang tahu dah gaji doktor".

"Tak banyak pun gaji Dr rupanya"..

"tak payah susah susah belajar semata mata nak dapat 4, 5 ribu dengan menjadi doktor, lebih baik ambil petroLeum engineering, kerja di Petronas, Shell, gaji berlambak lambak, bonus 5,6 bulan gaji".

"berbaloi ke belajar lama lama, letih lAgi dengan gaji macam tu"?

macam macam komen ada. Kakak saya seorang Dr di Hospital Besar Kota Bharu, sekarang sedang melanjutkan master didalam bidang Admission and Emergency (Kecemasan) di Universit Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan pernah berkata:

" Kerja Dr ni bukan boleh jadi kaya raya. Kalau nak kaya atau nak rasa naik mercedes, baik buka bisness sendiri. Nak hidup senang bolehlah menjadi doktor"

Inilah kadang kadang bilamana kita nampak matlamat kita semata mata duit bukannya cita cita dan kepuasan membantu orang lain dan diri. Saya menasihatkan adik adik yang DAPAT 11 A, 12 A dalam SPM baru baru ini, jika cita cita adik adik mahu menjadi doktor kerana nak jadi kaya, saya cadangkan adik adik berfikir 10 kali dan tidak menjadi doktor, takut anda kecewa dikemudian hari.

Letakkanlah  matlamat hidup kerana diri kita mahu, kerana lain, insya Allah kekayaan akan bersama, tidak kira siapa kita.

Seorang guru boeh menjadi lebih kaya dari seorang doktor, jika  beliau memang bercita cita menjadi pendidik yang berjaya, buka bisnes tuisyen, kelas tambahan, buka sekolah antarabangsa, menjadi motivator pelajaran terhebat, keluar di tv al Hijrah, tv3, terkenal dengan motivasi cara menjawab peperiksaan yang hebat.

Inilah yang  saya mahu kongsikan. Jadilah siapa jua yang anda mahu tapi beTulkan niat kita. Menjadi seorang manusia yang berguna, tahu potensi diri Insya Allah dipermudahkan dan rezeki juga  akan mengikut kita.

Wassalam

Penulis blog Aku Budak Medik
Dr AI. :) :)

Tuesday, January 22, 2013

andai kita berfikiran singkat

Andai kita berfikiran singkat:

"kita akan mudah merasa kecewa dengan diri. Banyaknya lagi kekurangan kita. Melangkah tapi masih tersadung. Sedangkan peperiksaan bakal menjelma. Membuatkan hati berdetik, mampukah kita untuk menghadapinya"

Kalaulah kita mampu berpandangan jauh

"Kekurangan yang kita miliki hari ini adalah satu yang kita tidak mahu ulanginya 20 tahu akan datang. Betapa jauhnya lagi sebuah perjalanan yang bakal kita tempuhi, ianya tidak terhenti bulan hadapan, tahun hadapan, tapi sesuatu yag akan kita bawa selagi bergelar seorang DOKTOR!. Bersabarlah dalam meniti perjalanan ini"

"Setiap air mata yang mengalir, Allah aku hamba yang lemah. Setiap air yang mengalir, Moga Allah tidak sesekali meninggalkan kita jauh dibelakang"

Penulis Blog Aku Budak Medik _ Positif :):)

Saturday, December 1, 2012

Jangan Berhenti Berlari!



Motivasi pagi Dr AI: Buat hati hati yang sangat merindui kekuatan untuk terus cekal dan tabah dalam perjalanan yang panjang;

"Apa yang pasti, setiap perubahan memerlukan keberanian, setiap keberanian memerlukan kepada keyakinan dan keyakinan memerlukan kepada ilmu dan perancangan. Perubahan tanpa mengikut aliran ini adalah perubahan yang biasanya menghasilkan kerugian dan kegagalan". Jangan Berhenti Berlari;126.

Tatkala seorang adik di kampus yang sedang bercita cita menyambung MBBS bertanya;


"Abang, susah tak MBBS?".

"Saya tersenyum. Banyak cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi. Ia akan menguji hati kita, menjadikan diri kita kuat tatkala menjadi seorang DR. kIta bukan sekadar diuji dengan ilmu yang perlu difahami, kita juga akan diuji dengan jiwa yang meronta. Kegagalan dan kejayaan pasti akan silih berganti tiba. Kegembiraan dan ujian jiwa pasti akan menyusul hadir. Yang penting, jangan sesekali mengeluh terhadap apa yang hadir. Anggaplah dugaan itu adalah ujian kematangan hidup bagi setiap individu dalam mencari sebuah kehidupan yang tersendiri".

Ada seorang Ustaz Bertanya:

"Macamana kehidupan MBBS?"

Saya menjawab: " Naik turun la ustaz. Ada ketika sibuk, ada ketika tenang. Tapi kami dah tepu dengan kehidupan sebegini".

Kadangkadang sukar untuk bercerita tatkala orang bertanya. Mungkin mereka perlu merasainya sendiri baru mereka akan faham; 





Begini rupanya kehidupan seorang pelajar perubatan dan doktor

'No Wonder' lah kalau ada mereka yang mulanya bersungguh sungguh memasang azam untuk menjadi seorang Dr, selepas graduate berkata:

"Saya nasihatkan adik adik saya usah menjadi doktor!"

Apapun terpulang pada niat dan azam sendiri.

Kita akan merasa damai andai tatkala melangkah, kita tidak sesekali menoleh kebelakang. Duri, paku, kaca yang dipijak seumppama warna warni pelangi yang sedang menceriakan waktu waktu kita.


Biarkan kemuncup hadir, kerana ia petanda kita sedang melangkah. ^__^

-Penulis Blog Aku Budak Medik-

Wednesday, November 28, 2012

Motivasi pagi Dr AI:

Motivasi pagi Dr AI:

Tatkala air tenang,biarkan perahu belayar mengiluk likuk likuk air, dibawahnya kejernihan air sehingga menampakkan pasangan pasangan bahagia kumpulan ikan yang saling bercanda.

Tatkala awan hitam muncul, ribut mula mengilai, kumpulan ikan mula bertempiaran lari, kapal yang tidak ditambat mula laju dilambung ombak, sesat ditengah lautan samudera, mencari jalan pulang.

Let

ih, tapi tiada putus asa yang dikenali. Bersangka baik pada yang maha Esa, dunia ini dia yang punya, bertawakkal pada si Empunya Janji, untuk mengurniakan kebaikan pada yang bersusah.

Hati kecil runsing, mampukah aku sampai di daratan, atau berkubur ditengah lautan tanpa nisan. Tatkala itu terdengar suara

"bersabarlah! bersabarlah: An Nahl;127. Pasti pertolongan akan tiba.

Sayup sayup dikejauhan,kumpulan burung berterbangan rendah berkumpulan ramainya . Hati mula berbisik riang, adakah aku sudah berjumpa jalan pulang

'Horray! Horray!

Saturday, November 10, 2012

Sakit, sakitlah. Apa aku kesah!

Banyak sebenarnya perkara menarik dan pelik tentang seorang manusia setiap kali berjalan jalan di wad, clerk case, semasa di OPD. membuatkan kita terfikir, kenapa manusia begini sifatnya, sangat kompleks untuk difahami. Ia bukan seperti sebuah kenderaan atau robot. Kalau robot, jika ini sakitnya, ini ubatnya, begini 
cara perawatannya.

tapi manusia mempunyai sifat yang langsung tidak sama. Manusia bukan robot. Manusia diberikan jiwa yang dapat merasa kehidupan dan maknanya. Setiap jiwa itu pula mempunyai pemahaman yang sangat berbeza dengan jiwa yang lain. Ada yang jenis berjiwa ' tak kesah'. Apa yang terjadi biarlah terjadi. Apa aku kesah, mungkin ini sudah menjadi takdir buat aku. KARMA. aKU menerima segala persuratan hidup.

ada seorang pesakit di wad opthalmology ( mata). Muda lagi sekitar 20 tahun. Tatkala saya mengambil history, dan bertanya: Adik, kenapa masuk hospital?

Beliau menjawab: mata sebelah kiri kabur bermula 2 minggu yang lepas. kekaburan itu mulanya sedikit, beliau masih boleh menonton tv, bermeseg di telefon dan masih dapat melihat muka dengan agak jelas. Selepas hampir seminggu, matanya semakin teruk, tidak dapat menonton tv dengan baik, susah mahu menaip meseg di telefon. Beliau merasa risau, terus ke kedai optometrist untuk pemeriksaan. Optometrist kemudian memintanya ke klinik untuk membuat rawatan lanjut. Beliau hadir ke klinik, kemudian di lanjutkan ke Hospital Besar Melaka untuk bertemu dengan specialist mata. CT san dilakukan keatas matanya, kemudian beliau dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut.





Past ocular history:

Perkara yang paling menyedihkan adalah apa yang sedang terjadi kepada mata kirinya ini telahpun berlaku kepada mata kanannya semasa berumur 15 tahun. sekarang mata kanannya buta dan hanya dapat merasai ' perception of light'. Beliau seakan tidak kesah untuk berjumpa doktor sewaktu berumur 15 tahun kerana beliau berkata masih ada mata kiri yang jelas untuk melihat SEHINGGALAH mata kanan tersebut menjadi semakin kabur dan buta padaa umur 16 tahun.

Cuba bayangkan sendainya pada waktu berumur 15 tahun itu, beliau terus datang ke hospital untuk rawatan, sudah pasti sesuatu dapat dilakukan keatas mata kanannya.

Tapi manusia memang ada yang jenis "apa aku kesah". terimalah apa yang terjadi dengan bahagianya.

Differential diagnosis : Optic neuritis with/ without Multiple sclerosis.

Penulis Blog Aku Budak Medik

Thursday, November 1, 2012

"Susahnya mahu mencari lelaki soleh sekarang yang rajin ke masjid"

Tatkala lelaki sedang mencari...

Ibu untuk anak anaknya, mencari tukang masak untuk memenuhi keperluan perutnya, mencari seorang jururawat untuk menjaganya ketika sakit, mencari tukang urut untuk mengurut segala urat sarafnya, mencari pembantu untuk menjaga ibunya yang sudah tua, mencari wanita untuk melengkapi hidupnya..

Wanita juga sedang mencari...


Mencari ayah untuk mendidik anak anaknya, mencari pelindung untuk melindungi dirinya, mencari penjaga untuk menjaganya dari bahaya, mencari pekerja untuk memberinya nafkah, mencari ketua untuk membimbingnya. Paling penting, mencari IMAM untuk mendidiknya serta keluarga ke jalan yang lurus.

Tatkala lelaki berkata 'Susahnya mahu mendapatkan perempuan yang pandai masak sekarang"

Wanita juga sebenarnya setiap kali azan berbunyi sering mengintai ngintai di masjid dan surau mencari bakal Mislimin yang akan menjadi IMAMnya sambil berkata :

"Susahnya mahu mencari lelaki soleh sekarang yang rajin ke masjid"

Tatkala kita mencari yang terbaik untuk kita, mungkin kita terlupa orang juga sedang menilai kita untuk menjadi yang terbaik buat mereka.

Penulis Blog Aku Budak Medik.

Thursday, October 4, 2012

Menulis untuk menghasilkan buku

Saya suka menulis. tapi masalahnya saya sangat kurang beristiqamah. Itu adalah masalah pertama yang sukar saya cari ubatnya. Bak kata pujangga, ' Ilmu tanpa amal, umpama pohon yang tidak berbuah'. Kalau ada perancangan, tapi tiada usaha, pun sukar. Cita cita dan perancangan semua manusia boleh lakukan. Tapi mahu ditafsirkan pada realiti itu yang menjadi masalah.

Sudah beberapa orang yang bertanya dan mendoakan saya samaada saya ada merancang untuk menulis buku. Benar! Itu adalah cita cita saya. Saya pernah meletakkan target padanya. Untuk berkongi sesuatu yang saya rasakan belum pernah ada lagi rakan rakan seangkatan dengan saya yang lakukan. Insya Allah andai diberi peluang. Doakan saya.

Kerana itu, sebenarnya kena ada target dalam hidup. Contohnya kita perlu letak dateline. Tarikh akhir.contohnya, saya mahu habiskan satu capter dalam surgery tajuknya gastric cancer. Dateline saya perlu habiskan satu bab ini dalam tempoh 2 jam. Maknanya dalam tempoh 2 jam tersebut, saya perlu merancang untuk khatam bab ini. Bukan bermakna saya perlu mengadap buku selama 2 jam. Itu sudah pasti tidak kompetitif. Mungkin saya gunakan setengah jam pertama untuk membaca overview, aetiology, pathophysiology. Kemudian saya berehat dan melakukan aktiviti lain selama 15 minit. Kembali mengadap buku selama lebih kurang 45 minit untuk membaca clinical features, investigation . berehat 5 minit dan kembali menghabiskan baki tajuk dengan membaca management. Saya sudah menghadamkan satu topik dalam tempoh 2 jam.

Bayangkan andaikata saya tidak meletakka dateline, sudah pastu saya tidak mampu menghabiskan hatta sebuah topik pun dalam satu malam.

Persepsi baru dalam mentelaah buku.

Sunday, September 9, 2012

Renungan

Motivasi pagi DR AI : Cuba tanya, berapa ramai dari mereka yang naik BMW, Merc, akan perasan dan menegur orang yang naik basikal, berjalan kaki.

Pagi nie, saya menolong mengawal lalu lintas sebuah BMW masuk longkang. Mujur ada lori yang sudi berhenti dan menarik BMW tersebut.

Hakikat kita manusia, pernahkah kita mellihat orang kaya, berpangkat yang sudi secara ikhlas menolong mereka yang miskin dan memerlukan dengan rasa kasih sayang. Bila berada diatas , sombong, bila sudah memerlukan, baru merintih.

Setinggi manapun kita berada, ingatlah suatu masa kita memerlukan seseorang.

Berbuat baiklah sesama makhlUk, nescaya Allah akan menjaga kita dimasa susah.

(BLOG AKU BUDAK MEDIK)

Monday, August 27, 2012

Dekatnya alam perkahwinan itu

Apa yang diimpikan oleh seorang lelaki tatkala dia mula menegur seorang wanita. Cantikkah, santunkah atau matangkah si dia?

 Cinta luaran yang hanya sedap dimata ataupun kasih di dalam yang bakal menjadi penghias diri dan jiwa seorang lelaki, yang bakal mendamaikan hatinya tatkala dia dalam kegelisahan hidup, tatkala dia sedang berperang dengan jiwa yang menggoncang.

 Lantas dia disambut bagaikan seorang putera bila pulang kepangkuan isterinya.

Hilang segala resah dijiwa. hilang segala kepenatan hidup. Riangnya hati Allah sahaja yang tahu.

Tatkala perut berbunyi keroncongan, si dia sudah bersedia dengan lauk pauk juadah yag lazat, disuapkan sedikit demi sedikit ke mulut suami tercinta. Dia tahu keredhaan Allah terletak pada keredhaan suami. Dibuatkan teh yang sedap untuk sang suami menghilangkan dahaga kehausan panas terik.

Bukan kecantikan yang menjadi penyeri rumahtangga, andaikata jiwa kosong dengan kasih sayang. Bukan harta yang menjadi buruan andaikata hidup penuh kesibukan dunia. Tapi hati yang ikhlas dalam melayari alam rumah tangga menuju keredhaan Ilahi.

Inilah yang  si suami cari rupanya.