untukmu permataku

Nama saya : Dr Amin Ismail (A.I.):

Pegawai Perubatan UD44, Jabatan Perbidanan dan sakit puan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan

Pegawai Perubatan UD41, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan :)

MBBS (Melaka Manipal Medical College, Manipal University)

saya seorang doktor yang sentiasa mahu ceria

Followers

Thursday, July 28, 2011

Jihad seorang doktor


Kalau dahulu, antara kalimat yang agung juga rasanya adalah "Ibu mahu anak anak ibu menjadi seorang doktor kerana kerjaya paling hebat adalah doktor". Ada juga yang berbunyi, doktor adalah satu pekerjaan yang sangat mulia. Kerana apa, doktor salah satu fungsinya adalah merawat pesakit, dan cuba sedaya upaya untuk menghalang kematian dari menguasai sebuah kehidupan.

Walaupun begitu sebagai seorang muslim, kita percaya pada ajal dan maut itu ditangan Ilahi. Bilamana sahaja malaikat maut mengetuk pintu, tiada siapa yang terlepas hatta kita membina sebuah peti besi sekalipun. Namun manusia diminta untuk berusaha dalam kehidupan ini. Fitrah Ilahi menyatakan sesuatu perkara itu tidak boleh berlaku tanpa satu alasan yang munasabah. Memang kuasa Allah yang menjadikan sesuatu, namun Allah menjadikan satu perantaraan untuk sesuatu itu berlaku.
Seumpama kata kata , Allah yang mampu mengenyangkan seorang manusia yang lapar, namun manusia perlu makan sebagai alat untuk mengisi kekenyangan. Begitu, juga, hidup dan mati. Walaupun maut itu suatu yang tidak dapat ditunda, namun kita mampu berusaha untuk memanjangkan usia dengan pelbagai cara. Kesihatan yang baik, rawatan yang bagus adalah satu cara untuk memanjangkan usia.

Seorang doktor tugasnya bukanlah untuk menghalang kehadiran malaikat maut, tapi tugasnya adalah untuk membantu manusia untuk hidup dengan baik. Salah satu bidang perubatan yang tidak kurang penting pada hari ini adalah  bidang 'palliative care'. 'Palliative care' adalah satu bidang yang mana secara kasarnya boleh disignifikasikan sebagai ilmu perubatan dimana seseorang  pesakit itu sudah tidak ada lagi daya upaya untuk sembuh. Tujuan 'palliative care' adalah untuk mengurangkan kesakitan pada pesakit supaya pesakit dapat untuk terus menikmati hari hari yang tinggal seperti manusia yang normal. Antara penyakit utama yang dirawat menggunakan kaedah palliative care adalah penyakit kanser dan HIV.

Antara tujuan palliative care adalahhope
1.mengurangkan kesakitan dan menghilangkan kesakitan
2.Mengurangkan atau menghilangkan simptom simptom sekunder seperti muntah, pening, kebas yang terhasil daripada penyakit primer
3. Menghilangkan tekanan
4.Memberi khidmat kaunselling kepada pesakit dan keluarga tentang penyakit yang dihadapi

Tiada manusia yang sebenarnya patut dinafikan hak dari mendapatkan rawatan sehingga ajal yang menjemputnya. Seorang doktor yang baik bukan sekadar merawat penyakit, tapi jauh dari itu mengenali seorang pesakit itu sebagi manusia secara keseluruhannya. Manusia akhirnya bukanlah sebuah kereta ataupun robot yang hanya perlu dibaiki pada tempat yang bermasalah. Namun jauh dari itu, manusia itu sendiri terdiri dari 3 komponen utama iaitu, jisim (tubuh badan), akal dan roh. Andaikata jisim manusia itu sakit, roh dan akal turut merasai tempiasnya.

Semoga mereka yang sedang berada didalam professional perubatan ini akan sentiasa istiqamah dan tawadduk untuk terus berbakti kepada hamba hamba Allah yang bernama manusia.  Benarlah kata kata guru saya, sejauh mana kita sebagai manusia berusaha untuk hidup, Allah pasti akan menilainya . Kesungguhan itu akan menerbitkan sebuah kehidupan.

p/s artikel ini dimuatkan dalam ruangan kolum fikrahislam.com bertarikh 24/7/2011

No comments: