untukmu permataku

Nama saya : Dr Amin Ismail (A.I.):

Pegawai Perubatan UD44, Jabatan Perbidanan dan sakit puan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan

Pegawai Perubatan UD41, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan :)

MBBS (Melaka Manipal Medical College, Manipal University)

saya seorang doktor yang sentiasa mahu ceria

Followers

Wednesday, September 29, 2010

dun galas: pemilihan ke 12

takziah diucapkan kepada Allahyarham Che Hashim Sulaiman, bekas wakil rakyat Dun Galas dibawah parlimen Gua Musang yang telah kembali ke rahmatullah akibat kanser paru paru. yang telah pergi biarlah pergi dengan sejahteranya. yang tinggal perlu meneruskan hidup. begitu juga rakyat di bawah dun galas. mereka perlu meneruskan hidup. apabila seorang wakil rakyat meninggal, perlu adanya pengganti. dan sudah tentu pilihanraya baru perlu diadakan. disinilah menariknya waktu2 pasca pilihanraya umum ke 12 yang menyaksikan berlakunya satu fenomena baru, politik baru dalam sistem pendemokrasian di negara kita, selepas pakatan pembangkang yang diterajui oleh bekas Timbalam Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menafikan agenda dua pertiga majoriti parti pemerintah yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

ini adalah kejutan, bukan mudah untuk menggugat wibawa Barisan Nasional. sudah tentu ada sesuatu kegusaran yang berlaku. lebih lebih lagi menjelang pemilihan umum ke 13 nanti. dalam tempoh singkat 5 tahun penguasaan BN selepas penafian dua pertiga majoriti, sudah 11 pilihan raya kecil berlaku, samada peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri. semuanya gara gara, pengunduran diri wakil rakyat, kematian. daripada itu 3 kerusi dikosongkan oleh wakil rakyatnya iaitu, kerusi permatang pauh, penanti dan bukit selambau. kerusi permatang pauh melihat satu keunikan tersendiri apabila presiden PKR , datin seri wan azizah secara sukarela melepaskan jawatan YB untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi Yb sterusnya menjadi ketua pembangkang di parlimen. daripada jumlah 11 kerusi yang dipertandingkan sejumlah 8 kerusi dimenangi PR manakala 3 dimenangi BN. galas?

menariknya dun galas di gua musanag. memang kelantan tidak dapat dinafikan salah satu kubu kuat PAS sejak dari merdeka lagi. lihat sahaja pilihan raya umum pertama selepas Perikatan dibawah tunku abndul rahman mendapatkan kemerdekaan dari British, dengan moral yang cukup tinggi kelantan akhirnya tidak terpesona langsung dengan nilai kemerdekaan yang dikecapi dan dibanggakan itu. terus sahaja rakyat kelantan seolah tidak melihat itu sebagai kejayaan tunku, mahupun PERIKATAN, memilih untuk memberikan kelantan untuk ditadbir oleh PAS. dan sampai hari ini PAS semakin kukuh di kelantan. namun pola rakyatnya ada perbezaan.

kelantan jika dilihat dari segi pembahagian daerahnya boleh dibahagikan kepada kelantan timur (kawasan mengadap laut china selatan) dan kawasan barat (kawasan pedalaman atau hulu) mengadap banjaran titiwangsa dan taman negara. kawasan yang banyak penduduk adalah kawasan kelatan timur, yang menjadikan kota bharu sebagai fokus kehidupan mereka. kawasan kelantan barat kurang penduduk kerana jauh dari kawasan bandar, lebih kepada kawasan pedalaman seperti gua musang, jeli dan daerah berdekatan. kurang didiami kerana berada jauh dari pusat bandar kota bharu yang dilihat semakin pesat membngun, mahupun dari bandar2 besar lain seperti kuala lumpur yang jaraknya lebih kurang 200 km dari gua musang. kawasan gua musang atau daerah gua musang sahaja meliputi separuh dari negeri kelantan.

kawasan kelantan timur biasanya adalah kawasan kubu kuat PAS sejak dari merdeka lagi, manakala kawasan kelantan barat boleh dianggap 50-50. kawasan jeli adalah kubu pengerusi UMNO kelantan, datuk seri mustapha mohammad, manakala kawan gua musang sejak turun temurun adalah kawasan selamat anak raja YTM Tengku Rzaleigh Hamzah. menariknya dun galas adalah satu satunya dun dibawah parlimen gua musang yang dimenangi oleh PAS itupun dengan majoriti 600 lebih.

banyak ahli akademik dan ahli politik berpendapat, kuasa YTM tengku Razaliegh di gua musang memang tidak ada siapa mampu menafikan. lihat sahaja, bila berada dalam UMNO, beliau menang, tubuh semangat 46 pun dia menang kat situ, masuk balik UMNO pun dia menang kat situ. beliualah permata anak raja payung yang menaungi rakyat di kelantan barat terutamanya gua musang. boleh dikatakan orang asli di gua musang solid dibelakangnya. sudah tentu bagi pertandingan merebut dun galas kali ini, peranan YTM kuli akan ditagih oleh BN untuk merampas kembali dari tangan PAS, selepas YTM akhir akhir ini dilihat semakin disisihkan akibat dari idea ideanya yang dilihat tidak sepakat dengan pemimpin Umno seperti dalam isu petroleum kelantan yang ditagih oleh kerajaan kelantan. isu ini sudah dipanjangkan ke mahkamah.

walaubagaimanapun, semuanya bakal menarik perhatian lebih lebih lagi PAS dan UMNO dilihat 2 parti terbesar masyarakat melayu islam di malaysia. semoga apa jua yang diimpikan oleh rakyat di dun galas akan menjadi impian.

moga akhirnya kelantan dan malaysia akan terus maju dan makmur. amin


petikan media:


Ku Li dilantik pengarah pilihan raya Umno-BN DUN Galas
September 29, 2010

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno hari ini.

“Dengan restu Presiden (Umno) Datuk Seri Najib Tun Razak), saya telah menghubungi Tengku Razaleigh (gambar) untuk memberitahu beliau mengenai keputusan parti melantik beliau dan beliau setuju,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN.

Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

“Saya yakin peluang kita untuk meraih kemenangan adalah lebih cerah,” kata Muhyiddin.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Chek Hashim Sulaiman, 46, dari Pas akibat barah usus, dua hari lepas. – Bernama


DUN Galas: Bakal keputusan petunjuk aliran sokongan Melayu PRU-13
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
September 30, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Bakal pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dilihat akan menjadi indikasi arah aliran sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke-13, yang kemungkinan dipanggil awal tahun depan, demikian menurut penganalisis dan ahli-ahli politik.

Malah, penganalisis juga berkata pertarungan untuk menguasai kerusi DUN Galas akan menyaksikan kemunculan isu-isu menyentuh kedudukan orang Melayu secara lebih agresif oleh kedua-dua Umno dan PAS.

Bagaimanapun mereka tidak menolak pengundi masyarakat minoriti, membabitkan kaum-kaum lain termasuk Orang Asli, akan memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan keputusan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

“Saya melihat pilihan raya kecil Galas akan menjadi petunjuk tentang kedudukan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

“Memandangkan kerusi ini terdiri daripada 70 peratus pengundi Melayu, ini akan menjadi tempat di mana Umno akan berusaha membuktikan bahawa ia parti pembela lebih baik berbanding PAS, malah lebih baik berbanding PKR,” kata beliau lagi.

PAS dan PKR adalah komponen Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu Ibrahim memberitahu bahawa keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi petunjuk langsung sama ada pengundi Melayu memihak kepada PR ataupun Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu ingat bahawa ini adalah kerusi yang akan menggambarkan bagaimana pengundi Melayu akan bertindak,” kata beliau dengan merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Galas dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Ini salah satu daripada beberapa kerusi dalam Kelantan yang bukan memihak kepada PAS (selama ini).

“Jika Umno menang, mereka akan kelihatan kuat dan adalah baik bagi mereka,” kata Ibrahim.

Bagaimanapun penganalisis menekankan, kerusi DUN juga mempunyai pengundi bukan Melayu dalam jumlah yang signifikan.

Oleh itu katanya, jika kedua-dua pihak cuba memainkan isu perkauman, langkah tersebut boleh menjejaskan sokongan pengundi minoriti kalangan Cina, India dan Orang Asli.

“Anda boleh lihat bahawa sejak kebelakangan ini PAS meletakkan diri mereka sebagai parti yang bukan sahaja memikat pengundi-pengundi Melayu-Islam, tetapi juga pengundi Cina dan India.

“Ada juga pandangan bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu boleh menentukan kemenangan pilihan raya kecil pada saat-saat akhir,” kata Ibrahim.

Malah beliau juga percaya bahawa tindakan kerajaan persekutuan dalam menghalang pembinaan gereja Orang Asli dekat Gua Musang akan memainkan peranan dalam arah aliran undi di kerusi DUN Galas.

“Secara tradisi undi Orang Asli sangat kuat bagi BN,” katanya.

Oleh itu kata beliau, mengambil kira perkembangan terbaru ia kemungkinan akan memberi kesan dalam arah aliran sokongan Orang Asli.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan isu agama, adalah isu yang menyentuh emosi dan boleh mempengaruhi pengundi,” kata beliau yang merujuk kepada lebih 1,000 pengundi Orang Asli yang bakal membawa kesan besar kepada BN.

Awal bulan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengarahkan pembinaan gereja konkrit dibina oleh masyarakat Kristian Temian di Pos Pasik.

Profesor Shamsul Adabi Mamat pula percaya PAS dan Umno akan memainkan isu-isu kaum dalam beberapa minggu menjelang pilihan raya kecil nanti.

“Umno dan PAS akan menggunakan apa sahaja sumber yang ada untuk memenangi pengundi-pengundi Melayu.

“Saya merasakan Umno mahu lebih berfokus dan bersedia untuk menang di Galas, dan mereka perlu menang kerusi ini.

“Jika ada peningkatan undi bagi Umno kali ini, ia akan menjadi petanda awal pengundi akan menyokong dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Shamsul.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberitahu The Malaysian Insider, pilihan raya kecil Galas sudah pasti akan menjadi ujian bagi Umno sama ada ia boleh menarik penyokong kalangan Melayu di negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa partinya tidak akan menggunakan pendekatan bersifat perkauman ketika kempen pilihan raya kecil DUN Galas ini dengan mendakwa pesaingnya akan menggunakan apa sahaja untuk menarik pengundi-pengundi Melayu.

“Umno akan memainkan isu-isu Melayu untuk memenangi pengundi Melayu,” katanya.

“Jika jentera kempen pilihan raya kecil diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya percaya ia akan lebih kepada retorik Melayu. Isu perkauman akan menjadi tajuk utama dan isu-isu lain akan ke belakang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Sambil mengakui kerusi DUN Galas secara tradisi adalah bahagian dikuasia Umno dan berada dalam bahagian Parlimen Gua Musang pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, Mahfuz berkata, PAS sudah pun membuat persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Dengan melihat bahawa Allahyarham Che Hashim sudah lama tidak sihat, kami sudah sibuk dalam mempersiapkan jentera kami.

“Kami tidak akan memainkan isu-isu perkauman, tetapi akan fokus untuk mendapatkan undi daripada kesemua kaum,” katanya lagi.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar berpendapat bahawa kedudukan Umno sama ada akan memainkan isu-isu perkauman bergantung pada keputusan sama ada Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Gua Musang, akan diberikan peranan signifikan dalam proses kempen nanti.

“Umno akan lebih berhati-hati dalam memainkan isu kaum. Berbanding dengan bahagian-bahagian lain di Kelantan, ia bukan kerusi didominasi pengundi Melayu sama sekali.

“Jika Tengku Razaleigh dilantik mengetuai jentera pilihan raya Umno, maka corak gerak-geri akan berubah, Umno tidak akan agresif dalam mendapatkan undi orang Melayu,” kata Ahli Parlimen Tumpat ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN untuk pilihan raya kecil Galas.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sudah tentu Umno akan memberi fokus untuk mendapatkan pengundi Melayu dan pada masa yang sama akan berusaha lebih untuk mendapatkan pengundi bukan Melayu.

“Ia adalah kawasan orang Melayu, jadi Umno akan memberi fokus untuk mendapatkan undi maksimum orang Melayu.

“Tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu terlalu agresif atau konfrontasi, kami akan lebih berwaspada dalam usaha mendampingi pengundi,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN.

Khairy juga menekankan kepentingan pengundi bukan Melayu dengan menjangkakan sokongan pengundi Melayu akan berpecah antara PAS dan Umno.

No comments: